CARA SOLAT DHUHA : RUJUKAN LENGKAP SOLAT DHUHA
Bagaimana cara Solat Dhuha dan bacaan Doa Dhuha?Panduan ini akan membimbing anda melakukan Solat Sunat Dhuha secara lengkap, langkah demi langkah.
Setiap bacaan dipermudahkan dengan transliterasi Rumi (untuk anda yang sukar membaca tulisan arab).
BACA JUGA DISINI : PERMOHONAN NIKAH ONLINE : DAFTAR NIKAH ONLINE SETIAP NEGERI
APAKAH MAKSUD DHUHA?
“Dhuha” (الضحى) bermaksud “Waktu Pagi” atau “Cahaya Pagi”. Justeru, Solat Sunat Dhuha adalah solat sunat yang dilakukan pada waktu pagi, di antara waktu Solat Subuh dan Solat Zohor. Ia adalah solat sunat muakkad iaitu yang amat dituntut dalam Islam.
Solat Sunat Dhuha dilakukan untuk menghapuskan dosa dan agar murah rezeki. Terdapat banyak nas yang menyebutkan akan kelebihan dan kepentingan solat ini.
Antaranya seperti yang disebutkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata:
Kekasihku telah berpesan kepadaku terhadap tiga perkara. (Iaitu) berpuasa sebanyak tiga hari dalam sebulan, dua rakaat solat dhuha, dan supaya aku melakukan solat witir sebelum aku tidur.
— Riwayat Muslim
BILAKAH WAKTU SESUAI SOLAT DHUHA?
Solat Sunat Dhuha dilakukan setelah matahari naik setinggi satu galah, sekitar 40-48 minit selepas syuruq. Ini berdasarkan hadis Nabi ﷺ yang menyebut solat Awwabin dilakukan ketika anak unta merasakan panas matahari. Waktu ini berlarutan sehingga sebelum zuhur. Setelah masuk waktu zuhur, waktu Dhuha berakhir.
Nabi ﷺ keluar menuju ke Quba’ dan melihat penduduk Quba’ sedang mendirikan solat Dhuha, lalu Baginda bersabda, “Solat Awwabin adalah ketika anak unta mula berasa bahang panas matahari.”
— Riwayat Imam Muslim
Tempoh waktu ini berlarutan sehingga hampir gelincirnya matahari, iaitu sebelum masuk waktu zuhur.
Setelah masuk waktu zuhur, maka tamatlah waktu dhuha (10 minit sebelum zuhur).
**CATATAN
Boleh juga untuk mendirikan terus Solat Sunat Dhuha sebaik sahaja masuk waktu Solat Sunat Isyraq, tanpa melakukan solat sunat Isyraq.
Walau bagaimanapun, lebih afdhal melakukan solat sunat Isyraq terlebih dahulu, kemudian barulah solat sunat Dhuha.
BILANGAN RAKAAT SOLAT DHUHA
Solat Dhuha boleh dilakukan dengan dua rakaat paling sedikit, kemudian seterusnya empat, enam, lapan sehingga 12 rakaat paling banyak.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, bilangan rakaat paling afdhal bagi Solat Sunat Dhuha adalah sebanyak 8 rakaat, berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ bin Abi Thalib R.Anha beliau berkata :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَوْمَ الْفَتْحِ صَلَّى سُبْحَةَ الضُّحَى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ يُسَلِّمُ مِنْ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ
Maksudnya : Sesungguhnya Rasulullah S.A.W melaksanakan solat dhuha pada hari Fathu Makkah (pembukaan kota Makkah) sebanyak lapan rakaat yang mana baginda memberi salam setiap kali selepas dua rakaat.
Riwayat Abu Daud (1290)
Imam Al-Nawawi berkata : Para ashab kami dan jumhur ulama berdalilkan dengan hadis ini dalam menyatakan istihbab (galakan) melakukan Solat Sunat Dhuha sebanyak lapan rakaat.
CARA SOLAT DHUHA
- Lafaz Niat (أُصَلِّي سُنَّةَ الضُّحَي رَكْعَتَين ِللهِ تَعَاليَ)
- (Usollii sunnatadh-dhuhaa rak’ataini lillaahi ta’aalaa.)
- Ertinya: ”Sahaja aku Solat Sunat Dhuha dua rakaat, kerana Allah Taala.”
- Membaca Surah Al-Fatihah
- Setelah takbiratul ihram, baca surah al-Fatihah seperti biasa.
- Membaca Surah
- Ringkasnya, kita boleh membaca mana-mana surah yang dihafal dalam semua solat sunat.
- Namun antara surah-surah yang dianjurkan ulama dalam solat dhuha ialah:
- Ayat Kursi (Rakaat Pertama) dan Al-Ikhlas (Rakaat Kedua) atau;
- As-Syams (Rakaat Pertama) dan Ad-Dhuha (Rakaat Kedua) atau;
- Al-lail (Rakaat Pertama) dan Al-Insyirah (Rakaat Kedua).
- Kemudian solat diteruskan seperti biasa sehingga cukup 2 rakaat.
- Bacaan Semasa Sujud Akhir
- Pada sujud akhir sebelum tahiyat akhir, boleh dibacakan zikir berikut:
- WaHab li Yaa-waH-Haabu ‘il-man Wa Hikmatan, Waar-zuq-niy, Yaa-raz-zza-qu Kun Liy Mu-saH-Ha-laa

Ertinya: Berikanlah kepadaku, wahai Tuhan yang Maha Memberi akan ilmu dan hikmah. Dan murahkanlah rezeki kepadaku, wahai Tuhan yang Maha Pemberi Rezeki. Jadikanlah ia mudah bagiku.
DOA SOLAT SUNAT DHUHA
Akhir sekali, selepas memberi salam dan melengkapkan bilangan rakaat yang diingini, ucapkanlah istighfar.
Ini menurut hadis sahih dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, ia berkata bahawa Rasulullah SAW, di mana diriwayatkan selesai solat Dhuha, baginda membaca doa Dhuha / mengucapkan,
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي، وَتُبْ عَلَيَّ، إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمِ
“Allahummagh fir lii wa tub ‘alayya, innaka antat tawwabur rahiim”
Ertinya: Ya Allah, ampunilah aku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang) sampai baginda membacanya seratus kali.
(HR. Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, no. 619. Syaikh Al-Albani mengatakan bahwa hadis ini sanadnya sahih.)
Kita juga boleh membacakan doa dhuha ini:
RUJUK DOA SELEPAS SOLAT SUNAT DHUHA (JAWI DAN RUMI BESERTA TERJEMAHANNYA DISINI)
KESIMPULAN
Marilah sama-sama kita cuba mengamalkan dan beristiqamah dalam melaksanakan Solat Sunat beserta doa Dhuha ini di dalam kehidupan seharian kita walaupun cuma dua rakaat.
Semoga kita sama-sama dapat merebut kelebihan yang telah dijanjikan oleh Allah dan mengikut sunnah Rasullullah.
Semoga panduan solat Dhuha dan doa Dhuha ini juga dapat menyelamatkan kita daripada perkara-perkara yang tidak baik serta Allah SWT akan memelihara kita daripada melakukan dosa kepada-Nya.